Rabu, 20 Oktober 2010

Minum teh hijau bagi warga tua boleh elak murung

Minum teh hijau bagi warga tua boleh elak murung
APABILA usia sudah semakin meningkat senja, perasaan mudah terguris dan diri menjadi lebih sensitif. Demikian rata-rata sikap warga emas.
Bagaimanapun, jika mereka rajin meminum beberapa cawan teh hijau, perasaan yang mudah murung itu lebih mudah disingkirkan.
Inilah dapatan satu kajian yang dijalankan di Jepun.
Dr Kaijun Niu, dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Tohoku di Sendai, Jepun, dan rakan-rakannya mendapati bahawa lelaki dan wanita berusia 70 tahun ke atas yang meminum empat cawan atau lebih teh hijau, didapati 44 peratus kurang cenderung untuk mengalami kemurungan, berbanding dengan mereka yang minum kurang daripada itu.
 
Dr Niu telah menjalankan kajian tersebut ke atas 1,058 warga emas yang umumnya sihat.
Hasilnya, mereka mendapati bahawa 34 peratus daripada kaum wanita itu dan 39 peratus daripada kaum lelaki mempunyai tanda-tanda kemurungan.
Sekitar 20 peratus daripada kaum lelaki dan 24 peratus kaum wanita mengalami kemurungan yang lebih serius.

Selebihnya tidak mengalami kemurungan. Mereka mewakili sekitar 488 peserta yang meminum empat cawan atau lebih teh hijau setiap hari dan 284 yang minum dua hingga tiga cawan sehari.

Hasil kajian itu dilaporkan dalam Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika, lapor Reuters.
Menurut pengkaji itu, kesan baik meminum teh hijau itu didapati pada para peserta kajian tersebut meskipun faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan sosial mereka, jantina, pemakanan, sejarah kesihatan, penggunaan ubat mengawal kemurungan, tabiat merokok dan kegiatan fizikal mereka telah diambil kira.
Namun, mereka dapati tiada kaitan antara kemurungan dengan meminum teh hitam, teh oolong dan kopi.

Teh hijau berupaya memberikan rasa tenang pada diri peminum kerana kandungan asid amino teanin yang dikatakan boleh menenangkan otak.

Bagaimanapun, kata Dr Niu, kajian-kajian lanjut perlu dijalankan untuk memastikan sama ada dapatan ini benar-benar memberikan kesan anti kemurungan.

Lantas beliau mengakui tidak mengesyorkan warga tua untuk meminumnya semata-mata untuk tujuan mengelakkan kemurungan.

Sumber : Cyberita

2 ulasan:

  1. baca sampai habis dulu sebelum membuat keputusan.. jangan baca tajuk saja..

    BalasPadam
  2. benar sahabat ku, kita harus tangani kemurungan dengan baik agar jiwa dan minda kita lebih mantap dan hebat.kebanyakan kita di luar sana gagal untuk berfungsi dengan sempurna disebabkan oleh penyakit kemurungan.tq 4 the infor

    BalasPadam